Saturday, 21 January 2012

:::BAUCAR BUKU 1 MALAYSIA RM50X4=RM200:::



Salam 1 Malaysia (secara umumnya) kepada semua teman-teman, sahabat handai dan rakan taulan yang sentiasa ternanti-nanti apakah artikel blog saya yang seterusnya buat julung kalinya ini… ;-)


Menurut sumber keratan akhbar tempatan, Tanggal 12 Januari 2012 yang lalu, telah berlangsung majlis penyerahan Baucar 1 Malaysia secara rasminya yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dengan jayanya sebagaimana yang telah diuar-uarkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia ke-6YAB Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak semasa pengumuman Bajet Tahunan Negara 2012 sebanyak RM260,000,000 khas untuk peruntukan pembelian buku kepada semua penuntut Tingkatan 6, Matrikulasi, Asasi, Politeknik, IPTA & IPTS di seantero negara kira-kira 1.6 juta orang  yang memenuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.      




  Maka, secara tidak langsung Pelajar/Penuntut/Mahasiswa Universiti Awam mahupun Swasta yang berstatus Warganegara Malaysia sahaja, umumnya wajib diberikan baucar RM50X4keping setiap seorang secara percuma mengikut Tahun dan Fakulti Pengajian masing-masing secara mutlaknya. Jadi, adakah anda semua berpuas hati dengan pemberian secara percuma baucar RM  tersebut???

 Walau bagaimanapun, saya yakin dan percaya, kemungkinan besar ada segelintir pihak terutamanya daripada golongan-golongan Pelajar/Mahasiswa IPTA sendiri khususnya yang mempertikaikan serta menyuarakan pendapat mereka dengan pelbagai spekulasi negatif, tohmahan dan cacian secara emosional dan tidak matang umpama ‘baling batu sembunyi tangan’  mengenai hasrat dan niat murni kerajaan Malaysia yang tulus ikhlas demi kemaslahatan (kepentingan) dan menjaga kebajikan mereka semua sebagai penuntut ilmu. Semestinya perkara asas yang sedang bermain oleh dek fikiran kita yang waras ini dan tidak boleh ditepis lagi adalah berkait rapat dengan kepentingan ‘dunia politik’ semata-mata pada perspektif kolot/jumud/ortodok mereka bak ‘tin kosong’ yang tiada isi di dalamnya!!! Justeru, Anda fikir-fikirkanlah sendiri…

       Lantaran itu, saya menyeru kepada semua pelajar/mahasiswa/i IPTA khususnya agar dapat menggunakannya secara berhemah tinggi dan bijaksana yang relevan dengan tuntutan sebenar pemberian baucar percuma tersebut kepada anda untuk membeli apa jua sebarang bentuk bahan bacaan dengan kaedah menebus baucar tersebut dengan syarat benda/bahan tersebut tidak melebihi daripada harga baucar yang ditetapkan seperti buku rujukan, motivasi, agama, majalah ilmiah atau mungkin novel serta sebarang bentuk perkakasan alat tulis dan yang sewaktu dengannya yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran di samping, sesuatu yang berpotensi untuk menambah baik dan mempertingkatkan kualiti, mutu dan gaya hidup anda tidak kira bila-bila masa dan di mana jua anda berada.

  
              AMARAN!!! Anda perlu bertindak segera untuk tebus baucar tersebut sebelum 31/03/2011!!! Sekian…

Nota Ringkas : Yahooo…!!! Tuan empunya blog ini pun dah gunakan/tebus baucar yang diterima dengan membeli kamus rujukan tribahasa (Melayu-Inggeris-Arab) versi baru serta senaskhah Kitab al-Quran & terjemahan yang keseluruhan berharga hampir RM 100 di ‘booth’ jualan buku di perkarangan perpustakaan USIM baru-baru ini. Dan semestinya sempat juga melawat di toko/kedai buku ‘POPULAR’ yang berdekatan untuk membeli (opsss… mendapatkan secara percuma) alat-alat tulis bagi kegunaan sepanjang masa walaupun dah habis ‘final exam’…hehe…  Wassalam… (^_^)v   

Sunday, 1 January 2012

:::HAPPY NEW YEAR 2012:::




Tahun 2011 telah berlalu meninggalkan kita. Kini, Tahun Baru 2012 telah muncul tiba. Apakah erti sebenar tahun baru pada perspektif anda? Kenapa ramai orang bahkan sebahagian besar bergembira, bersuka ria dengan datangnya tahun baru? Apa yang membuatkan mereka begitu bahagianya apabila tibanya tahun baru yang bersilih ganti? Tidak hanya di tanah air kita yang tercinta ini, malah di seantero dunia secara umumnya begitu obses/taksub ketika meraikannya umpama sambutan perayaan bagi setiap agama yang dianuti oleh setiap individu masing-masing. Padahal pertambahan saban tahun secara literalnya membawa maksud semakin tuanya umur manusia dan secara tidak langsung semakin tuanya umur bumi dan alam semesta ini. Jika manusia, bumi dan alam semesta sudah semakin berusia, justeru ianya bererti semakin dekatnya kita semua sekalian makhluk yang dicipta oleh Yang Maha Esa dengan datangnya kiamat. Kiamat? Ya Hari kiamat, Hari yang sungguh istimewa bagi setiap kejadian di mana alam dan segala isinya akan dimusnahkan. Percayakah anda? Opsss!!! Bagaimanapun, si arjuna hatimu ini tidak akan berbicara lebih lanjut mengenai fenomena alam yang sangat luar biasa itu secara lebih terperinci. Adadah ianya kerana dikhuatiri bisa membuatkan kita menjadi seorang yang penakut dan tidak optimis menghadapi lumrah kehidupan yang hakiki bersifat sementara ini di dunia yang fana' penuh pancaroba ini???
Makna tahun baru bagi sesetengah orang (mungkin) adalah adanya perubahan. Kerana secara fitrahnya memang manusia sukakan perubahan. Sedangkan secara dasarnya pun Manusia itu adalah baru dan sangat sukakan pembaharuan. Lantaran itu, manusia merayakan/meraikannya dengan penuh bersemangat yang padu, penuh keazaman yang jitu dan penuh iltizam yang konkrit di dalam meneruskan kehidupan dari satu hari ke satu hari yang mendatang. Memang tidak dinafikan lagi bahawa hidup kita ini perlu perubahan, perlu inovasi dan perlu variasi. Monoton dan klise di dalam menjalani aktiviti kehidupan seharian terkadang membuat kita rasa bosan, sangsi, jemu dan mungkin jelik yang akhirnya membantutkan semangat kita yang telah disemai setinggi menggunung di dalam beraktiviti sehari-harian. Maka disebabkan itulah segala perilaku, gerak kerja dan rutin harian di dunia diliburkan gara-gara menyambut Tahun Baru sahaja.
Di tahun baru 2012 ini, cubalah kita belajar dari erti kegagalan, kekurangan dan kekeliruan di tahun 2011. Semua yang terjadi pada tahun sebelumnya harus kita jadikan pelajaran dan peringatan agar kita benar-benar boleh menghayati makna tahun baru ini dan memperbaiki serta menyempurnakan apa yang telah kita lakukan. Jika kita belum dapat memahami apa makna tahun baru, jika apa yang terjadi pada tahun 2011 masih berlaku juga pada tahun 2012 ini, jika ketelanjuran batasan masih tetap kita lakukan, maka tidak ada gunanya kita meraikannya tidak kiralah sama ada kita menghadirkan diri dalam ribuan jemaah umat manusia dari seluruh pelosok negara di dataran bersejarah untuk menyaksikan percikan bunga api, persembahan/konsert nyanyian artis dan sebagainya yang memungkinkan kita untuk terjebak ke lembah hina dan kemaksiatan yang memudaratkan atau besar kemungkinan kita melakukan upacara keagamaan di setiap rumah ibadat bagi setiap agama yang dianuti masing-masing pada malam tahun baru tersebut contohnya umat Islam kerap mengimarahkan masjid dengan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, mendirikan solat hajat/qiamulail/solat sunat tahun baru, bersedekah dalam bentuk material atau wang ringgit dan yang sewaktu dengannya.

Apa yang penting sekali adalah Tahun Baru itu sendiri tidak menjadi Tuhan Baru (yang songsang/sebaliknya) . Lihatlah sekilas pandangan kita di tahun 2011 denagn apa yang telah berlaku. Ada artis yang dipuja setinggi melangit sehingga boleh dianggap bersalah secara hukum Islam pun masih lagi boleh diagung-agungkan. Selain itu, banyak bencana alam yang diandaikan sebagai tanda kiamat kecil yang terjadi, masih tidak mampu untuk membuatkan kita sentiasa ingat dan berwaspada pada Sang Pencipta. Tambahan lagi, ada 'pemakan suap' atau golongan yang digelar jenayah 'berkolar putih' yang terus leka dan alpa dengan sumber harta haram tersebut. Walau apapun yang terjadi di tahun 2011, marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri dan merenungkan sejenak kembali berapa banyakkah amalan baik serta tanggungjawab wajib yang sudah kita laksanakan sebagai bekalan di akhirat kelak??? Adakah dosa-dosa kita yang sudah terang lagi bersuluh yang acap kali dilakukan itu sama ada disedari ataupun tidak disedari, dapat dipudarkan dan mungkin terus dilenyapkan daripada diari kehidupan kita pada tahun baru ini??? Renung-renungkanlah serta fikir-fikirkanlah secara matang dan bijaksana umpama 'si jauhari yang mengenali manikam'.
Akhir kalam, Selamat Tahun Baru 2012 sekali lagi diucapkan!!! Mari kita tinggalkan tahun 2011 dengan penuh optimis, azam dan tekad yang kukuh, padu dan jitu untuk menghadapi tahun seterusnya dalam keadaan yang lebih baik, lebih bahagia dan malah lebih semangat... Sekian...