Menurut Kamus Dewan
Edisi Ke-4, ‘MENGUMPAT’. dapat didefinisikan sebagai perbuatan mencela-cela
(memburuk-burukkan) orang lain di belakangnya, mengatai (orang) di belakang:
mereka bergunjing (umpat/fitnah) dan ~ iaitu menyiarkan kesalahan dan aib manusia
kpd orang lain di belakang; 2. mencela, mengejek, mengeji: berdosa mencela dan
~ orang; 3. memarahi (mengutuk, menyumpah) orang kerana berlaku sesuatu yang tidak
patut kpd kita, menghamun dll.
Menurut takrifan
istilah ini daripada perspektif Islam, Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan
atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Malah, Baginda Rasulullah S.A.W.
menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda baginda bermaksud “Mengumpat
itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang
dibencinya” (Hadis Riwayat Muslim)
Mengumpat berlaku sama
ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau
menceritakan keburukan. Biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui
oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat,
ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak
sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Dosa
mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh
Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.
Dosa mengumpat hanya
layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak
mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat”. (Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya dan Ibnu Hibban)
Disebabkan mengumpat
terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan
dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari
kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang
sama oleh orang lain.
:::CONTOH VIDEO YANG MENGISAHKAN TENTANG BUDAYA GEMAR MENGUMPAT DALAM KALANGAN WANITA MUSLIMAH:::
Allah akan membalas
perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sebagaimana Sabda Rasulullah
S.A.W. “wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan
hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu
mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban
saudaranya, maka Allahakan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya,
meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Hukum asal kepada mengumpat adalah HARAM kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para Muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.
Namun begitu di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam. Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu diBOLEHkan oleh Syara`.
1) Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pemerintah seperti Khalifah dan Hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu dibanteras.
2) Perbuatan mengumpat (mendedahkan) itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "orang itu melakukan kemungkaran maka cegahlah dia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.
3) Meminta fatwa daripada ahli agama yang mana orang yang bertanya terpaksa mengumpat bagi menjelaskan masalahnya. Contohnya dia bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"
4) Memberikan peringatan kepada muslimin terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya di samping terselamat daripada keburukan orang itu seperti 'menyebut kelakuan jahat seseorang lelaki yang diingini untuk dikahwini bila ditanya agar bakal isterinya tidak terpedaya, teraniaya dan selamat'.
5) Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran dan kejahatan yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa jika kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telah pun menzahirkan kejahatannya secara terang-terangan. Di samping, ia bertujuan supaya orang lain berhati-hati dengannya dan juga agar dia menghentikan kesalahannya itu. Sekiranya kejahatan yang dilakukannya secara bersembunyi maka, haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.
6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka, kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai. Sebagai contoh : seseorang yang masyhur dengan nama buruk seperti Ali Setan dan sebagainya.
Justeru, hasil daripada 6
keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman
dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah adalah dibenarkan oleh Syarak
atas sebab-sebab berikut:
1. Seandainya
kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemerintah tidak didedahkan kepada
masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas
mereka akan menjulang pemerintah. Namun begitu sekiranya penyelewengan
pemerintah didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk
menggantikan pemerintah yang tidak amanah dengan pemerintah yang amanah
terhadap agama, bangsa dan negara.
Ini bermakna tindakan
mendedahkan kesalahan pemerintah yang tidak amanah adalah kerana ingin
mengelakkan masyarakat daripada ditimpa kejahatan mereka yang tidak mahu
meletakkan Islam sebagai jalan penyelesaian terakhir kepada setiap keputusan muktamad negara.
Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah atau umpatan yang dibenarkan:
ومنها أن يكون
له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمنله عليه ولاية
ليس تدل
به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة
Maka kalaulah pada
zaman Khilafah Islamiyah seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah
keburukan para menteri yang berada di bawahnya yang tidak amanah dengan harapan
khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru,
maka kita pada hari ini boleh mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah
dan tidak amanah mereka terhadap Allah dan rakyat kerana setiap rakyat berkuasa untuk
menjatuhkan pemimpin seperti ini di bawah sistem demokrasi negara kita.
2. Kemungkaran yang
dibuat oleh pimerintah pada hari ini kebanyakannya dibuat secara
terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk
mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir kepada rakyat dan orang awam.
Al Iman Al-Ghazali
berkata:
وكانوا يقولون
ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه
Maka ini dengan jelas
membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah
dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah
yang zalim juga telah pun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.
Dari konsep kenegaraan
pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah
dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.
3. Pendedahan kejahatan
para pemerintah kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan
masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka
di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.
Kesimpulannya, walaupun kita
dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang
zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran sahaja daripada terus berlaku.
Namun, seandainya
kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran tertutup yang
hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman
kepada rakyat , maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang
disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada
masyarakat umum, ia secara tidak langsung akan mendedahkan aib seseorang itu kepada khalayak ramai secara terang-terangan. Selagi mana
kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka, kita tidak boleh
mendedahkannya kepada masyarakat umum contohnya melalui medium media cetak dan elektronik... Sekian...
assalamualaikum..best lepak and blogwalking kat sini..done follow..jom visit kita http://aidamusbah.blogspot.com/
ReplyDelete