Friday, 20 April 2012

:::Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak/ Ruling On Applying Design/Pattern Henna In Islam:::


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wa maghfiratuh wa ridhwanu... Pengisian menarik buat tatapan anda pada kali ini, saya terpanggil untuk berkongsi serba sedikit ilmu dan pengetahuan mengenai isu 'PEMAKAIAN INAI BERCORAK' dan keraguan mengenai hukum 'PEMAKAIAN INAI TERHADAP PENGANTIN LELAKI' yang acap kali diperdebatkan di setiap ruang-ruang komentar terutamanya di laman-laman sosial dan laman sesawang yang lain. Untuk pengetahuan anda juga para pembaca yang budiman, apa sebenarnya yang membuatkan saya terfikir dan tergerak hati untuk mengutarakan hal ini sebagai bingkisan buat santapan anda semua pada kali ini, ia adalah kerana secara kebetulannya saya telah diamanahkan oleh seorang Pensyarah di Universiti untuk mengkaji satu tajuk fatwa terkini yang berkait rapat dengan senario di negara kita yang sedang hangat diperkatakan bagi merungkai dan menyingkap di sebalik tabir kebuntuan, keraguan dan kesangsian yang masih lagi tidak menemui jalan penyelesaian yang terbaik dalam kalangan masyarakat kita khususnya. Justeru, di sini mata pena terpanggil untuk membongkar isu hangat ini dengan merujuk kepada beberapa sumber-sumber rujukan yang sahih, jitu, diyakini dan diiktiraf buat tatapan anda semua para pembaca yang dirahmati Allah swt sekalian... Bacalah dan seterusnya kongsikanlah... ;-)




Takrifan/Definisi
Ø DARI segi bahasa, inai bermaksud bahan yang digunakan untuk memerahkan kuku, jari dan anggota badan. Dalam bahasa Arab inai dipanggil Al-Hinaa' atau henna.
Ø  Pemakaian inai seolah-olah menghiaskan diri dengan bahan yang dipakai, sama seperti memakai perhiasan di tubuh seorang wanita. Sifat inai tidak berkekalan selamanya di tubuh kita.
Ø  Sebelum menentukan hukum memakai inai perlu dilihat dari beberapa aspek, antaranya ialah;
  1. Bahan inai itu diperbuat daripada apa? Adakah daripada bahan yang halal atau daripada bahan yang haram. Sekiranya inai itu semata-mata daripada daun inai, sama ada yang dikeringkan atau diproses secara tradisi maka bahannya halal.
  2. Ukiran inai, sekiranya inai itu diukir di tangan manusia dengan bentuk lambang salib atau lambang berhala atau objek yang menyerupai makhluk maka hukumnya haram. Sekiranya inai diukir membentuk corak-corak flora, seperti bunga, daun-daun atau apa-apa sahaja bentuk yang tidak menyerupai makhluk adalah harus hukumnya.
  3. Inai bagi tujuan berubat. Dalam tradisi perubatan inai dipercayai boleh memulihkan kuku yang bermasalah. Ada juga masyarakat Arab dan Afrika menggunakan inai untuk tujuan menggelakkan kerekahan pada tapak kaki. Sekiranya inai digunakan untuk tujuan perubatan hukumnya harus.

Ø  Hukum Memakai Inai Bagi Wanita / Pengantin Perempuan :-


  • Diharuskan. Sama ada wanita yang belum berkahwin atau yang berkahwin dengan memakainya di kaki dan tangan.
  • Tetapi mestilah bersederhana bagi mengelakkan fitnah.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : أَوْمَتْ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَبَضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ ، فَقَالَ : (مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ ؟ قَالَتْ : بَلْ امْرَأَةٌ  قَالَ : لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ - يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ) . حسنه الألباني في "صحيح أبي داود".

Diriwayatkan dari Aishah RA Bahawa seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin menyampaikan surat kepada baginda S.A.W. lalu baginda melihat tangan itu seraya baginda bersabda: “Aku tidak tahu sama ada ini tangan lelaki atau perempuan. Perempuan itu menjawab: “Aku adalah seorang wanita.”  Baginda bersabda: “Sekiranya kamu seorang perempuan, bezanya dengan memakai henna (inai) di jarimu.”                                                                                                          
  (Hadith Riwayat Abu Daud)

  • Sabda baginda;
لعنَ اللهُ الواصلةَ والمُستوصلةَ والواشمةَ والمُستوشمةَ
Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya, orang yang minta disambung rambutnya, orang yang melakukan tatu dan orang yang minta dilakukan tatu kepadanya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Abdullah bin Umar r.a.)

  • Sabda baginda juga;
لَعَنَ اللهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ، وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ
Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)



ØHukum Memakai Inai Bagi Lelaki / Pengantin Lelaki :-
  • Tidak diHARUSkan. Melainkan bagi tujuan perkahwinan/pengantin lelaki.
  • Sebab ia merupakan sebahagian daripada adat perkahwinan Melayu yang tidak bertentangan dengan hukum Syara’.
  • Selain diHARUSkan bagi tujuan perubatan
  • Namun, terdapat riwayat menyatakan :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَّبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى   اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا بَالُ هَذَا فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ فَأَمَرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نَقْتُلُهُ فَقَالَ إِنِّي نُهِيتُ عَنْ قَتْلِ الْمُصَلِّينَ"صحيح أبي داود".
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa seorang mukhannath (khunsa) yang mewarnakan tangannya dgn henna (inai) dibawa ke hadapan rasulullah. Dikatakan kepada Rasulullah S.A.W: “Wahai Rasulullah. Lelaki ini cuba menyerupai wanita.” Lalu lelaki itu dihalau dari al-baqi’ (sebagai hukuman, dihantar ke tempat yang terpencil supaya dijauhi dari orang ramai). Lalu mereka bertanya kepada rasulullah S.a.w: “Kenapa dia tidak dibunuh?” Lalu baginda S.A.W bersabda: “Aku dilarang membunuh mereka yang bersembahyang.” (Diriwayatkan oleh ABu Dawud, Sahih Al-Jaami’, 2502)

لعن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال
Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki”.                         
  (Riwayat Imam Bukhari)

 Ø Bagaimanapun, di sini juga terdapat beberapa pendapat dari 4 Mazhab yang  berbeza pendapat dalam menetapkan hukum pemakaian inai di samping pendapat beberapa ulama’ terkini.
  • Mazhab Hanbali : berpendapat bahawa penggunaan henna (inai) diharuskan utk mewarnakan pada mana-mana bahagian anggota badan kecuali di kepala samada kepada lelaki ataupun perempuan.
  • Mazhab Syafie pula berpendapat bahawa lelaki diharuskan memakai henna (inai) pada mana-mana bahagian tubuh badan KECUALI tangan dan kakinya. Walaubagaimanapun ia dibenarkan sekiranya melibatkan hal2 perubatan atau darurat. Perempuan yang berada di dalam iddah kerana kematian suaminya juga dilarang memakai inai.
  • Imam An-Nawawi RH dalam fatwa al-majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Wanita bersuami diharuskan memakai henna di tangan dan kaki mereka.
  • Mazhab Hanafi dan Maliki pula berkata : lelaki dan perempuan diharamkan ke atas mana-mana tubuh      anggota kerana ia adalah sama seperti memakai wangian.
  • Jelas Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz: "Inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu adalah kategori tatu,kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul di hujung jari.“ (Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur).
  • Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan ulama berpendapat bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasan wanita . Inai yang digunakan untuk perubatan (medication) tidaklah mengapa (tujuan kesihatan seperti inai di ibu jari kaki yang menghidap penyakit sekam (kuku rosak).
Ø  Justeru, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

 v  Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
 v  Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah ter had sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan.
 v  Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
 v  Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

*SILA KLIK LINK INI SEBELUM ANDA KELUAR!!!
http://says.com/my/putramuksent12/specials/wwf-groupon

Post a Comment

0 comments:

Post a Comment

Post a Comment