Saturday, 27 October 2012

:::BUDAYA SUKA MENGUMPAT DALAM KEHIDUPAN KITA:::

:::MENGUMPAT @'backbiting' ; 'malicious gossips'::

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, ‘MENGUMPAT’. dapat didefinisikan sebagai perbuatan mencela-cela (memburuk-burukkan) orang lain di belakangnya, mengatai (orang) di belakang: mereka bergunjing (umpat/fitnah) dan ~ iaitu menyiarkan kesalahan dan aib manusia kpd orang lain di belakang; 2. mencela, mengejek, mengeji: berdosa mencela dan ~ orang; 3. memarahi (mengutuk, menyumpah) orang kerana berlaku sesuatu yang tidak patut kpd kita, menghamun dll.
Menurut takrifan istilah ini daripada perspektif Islam, Mengumpat  ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Malah, Baginda Rasulullah S.A.W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda baginda bermaksud “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan. Biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.




Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat”.                                                                       (Hadis riwayat Ibnu Abi Dunya dan Ibnu Hibban)




Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain.

:::CONTOH VIDEO YANG MENGISAHKAN TENTANG BUDAYA GEMAR MENGUMPAT DALAM KALANGAN WANITA MUSLIMAH:::

Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W. “wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allahakan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Riwayat Abu Daud)


Hukum asal kepada mengumpat adalah HARAM kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para Muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.
Namun begitu di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam. Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi        Rahimahullah mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu diBOLEHkan oleh Syara`.

1) Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pemerintah seperti Khalifah dan Hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu dibanteras.
2) Perbuatan mengumpat (mendedahkan) itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "orang itu melakukan kemungkaran maka cegahlah dia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

3) Meminta fatwa daripada ahli agama yang mana orang yang bertanya terpaksa mengumpat bagi menjelaskan masalahnya. Contohnya dia bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"


4) Memberikan peringatan kepada muslimin terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya di samping terselamat daripada keburukan orang itu seperti 'menyebut kelakuan jahat seseorang lelaki yang diingini untuk dikahwini bila ditanya agar bakal isterinya tidak terpedaya, teraniaya dan selamat'.
5) Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran dan kejahatan yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa jika kita menghebahkan kepada masyarakat tentang kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telah pun menzahirkan kejahatannya secara terang-terangan. Di samping, ia bertujuan supaya orang lain berhati-hati dengannya dan juga agar dia menghentikan kesalahannya itu. Sekiranya kejahatan yang dilakukannya secara bersembunyi maka, haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.

6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka, kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai. Sebagai contoh : seseorang yang masyhur dengan nama buruk seperti Ali Setan dan sebagainya. 


Justeru, hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut:
1. Seandainya kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemerintah tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan menjulang pemerintah. Namun begitu sekiranya penyelewengan pemerintah didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemerintah yang tidak amanah dengan pemerintah yang amanah terhadap agama,  bangsa dan negara.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan pemerintah yang tidak amanah adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai jalan penyelesaian terakhir kepada setiap keputusan muktamad negara.

Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah atau umpatan yang dibenarkan:

ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمنله عليه ولاية 
ليس تدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة

Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiyah  seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada di bawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru, maka kita pada hari ini boleh mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanah mereka terhadap Allah dan rakyat kerana setiap rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di bawah sistem demokrasi negara kita.

2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimerintah pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir kepada rakyat dan orang awam.

Al Iman Al-Ghazali berkata:

وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه

Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telah pun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.
Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.

3. Pendedahan kejahatan para pemerintah kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.

Kesimpulannya, walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran sahaja daripada terus berlaku.


Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran tertutup yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada rakyat , maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ia secara tidak langsung akan mendedahkan aib seseorang itu kepada khalayak ramai secara terang-terangan. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka, kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat umum contohnya melalui medium media cetak dan elektronik... Sekian...